Friday, June 8, 2012

Ulang - tahun

Telah terjadual, anak sulung kakak yang akan melihat dunia pada tarikh sama. 9 haribulan 6. Buntu aku tak habis - habis.

Yang aku harapkan, pada tarikh tersebut, aku berada di Kuala Lumpur. Membawa bersama simpanan yang aku kumpul sikit - sikit. Sanggup tak makan. Cis, takdir kau mainkan aku ya? Kau sudah tahu tarikh tersebut adalah ulang tahun yang perlu aku raikan untuk tunjukkan rasa sayang aku. Tapi kau sengaja pertemukan tarikh tersebut dengan menjadualkan kelahiran anak saudara aku yang pertama. Kedua - duanya penting bagi aku. Kakak yang paling rapat dengan aku dalam keluarga, sudah tentu anak sulongnya itu akan aku sambung azan ditelinga selepas abang ipar aku. Mahu sahaja aku biar dia kenali suara aku kerana kelak aku akan berada di bandar semasa pembesaran anak itu. Takut - takut dia tak mengenali rupa aku, boleh aku terjah dengan suara aku pada hari kelahirannya nanti.

Ahh, makin bingit minda aku dengan kehadiran tarikh ini. Boleh aku jual kepada kalian? Siapa - siapa yang berminat mahu memberi tarikh ini. Aku jual secara percuma, dengan adanya sesuatu untuk ditukar. Tidur sepanjang hari mungkin?

Buat adinda di bandar. Maafkan aku kerana aku mengutamakan keluarga. Kelak kau menjadi isteri aku, kau akan rasa nikmat kekeluargaan yang aku adaptasi dari sebuah penulisan ringkas. Yang juga ditulis oleh aku sendiri. Barangkali aku syok sendiri kot? Haha.

Untukmu, malam ini akan aku bentang segulung tikar yang dah usang di sebuah padang. Di atas permukaan yang tak rata. Baring melihat awan, bintang dan langit. Menyusun titik - titik di angkasa membentuk rupamu. Biar dunia lihat, pada malam ulang tahun kita, aku paparkan cinta agungku. Bukan dengan wang tunai yang ada nilai semasa ke semasa tetapi dengan khayalan yang tak punya hak untuk dibida. Biar malam ini menjadi lagenda, atau mitos barangkali, untuk anak cucu cicit kita. Semua harta yang kita miliki, kertas - kertas puisi yang aku tulis dan lakaran dari jiwa yang aku lukis. Aku selerakkan di atas tikar ini, maka aku bersetubuh dengan setiap satu daripada ia. Berpelukan dengan bayang, imajinasi aku ketahap yang maksimum. Semata - mata mahukan kau hadir dalam mimpiku.

Tarikh ini, mungkin menjadi taruhan buatku sebagai alasan menjadikan aku seorang manusia. Yang sempurna untuk menyempurnakan kesempurnaan yang sepatutnya aku laksana sejak azali. Dulu aku gagal, tak mungkin kali ini. Tak mungkin. Tarikh ini, mungkin juga menjadi sebutan. Oleh aku, anakanda aku, atau cucunda ku nanti. Tarikh ini, mungkin juga menjadi misteri. Supaya aku berseronok berserabut dengan permainan dunia. Tarikh ini, mungkin juga menjadi apa - apa sahaja yang aku mahu.

Ahmad Syukor b. Abd Razak.

Monday, June 4, 2012

BAWA AKU KE SESUATU TEMPAT YANG DAMAI

 Dalam belenggu kemarau, aku dahagakan ketenangan. Di sebuah perhentian, punya sebatang pohon tua yang daunnya hanya tinggal satu. Terus dijirus air dengan harapan ia berkembang seperti sediakala. Maka pada ketika itulah, deria aku semakin berbaur kehilangan. Bumi yang aku pijak dinihari, semakin mencapai klimaks kemusnahan. Andai kata Tuhan mengizinkan usia Hamba-Nya dilanjutkat selama beberapa dekat lagi, aku seperti mahu menjadi yang pertama untuk kehidupan seterusnya. Menjaga keamanan serta amanah yang disertakan. Bahtera kepunyaan aku, membawa ketenangan kepada mereka yang meracau dalam kebingungan.

Ahmad Syukor B. Abd Razak