Sunday, November 27, 2011

Nikmat

Terhidang di meja tamu, masak lemak cili api. Disusuli gulai ikan sembilang dan ikan bawal masam manis. Aku berdiri dari jauh terliur memandang hidangan tersebut.

Aku dilayan seperti tetamu, sedangkan aku yang belajar di luar kawasan sekadar pulang melepaskan rindu aku pada keluarga. Emak, dari raut wajahnya yang sangat gembira dengan kepulangan aku. Menghidangkan aku dengan makanan yang sangat istimewa dan yang lebih istimewa adalah masakan itu adalah dari air tangannya. Aku tersenyum dan serta - merta mata aku bertakung dengan air mata gembira.

Habis, dari air basuh tangan sehingga lauk - pauk aku emak sediakan dalam satu pinggan. Pinggan aku pula berlainan dari adik - beradik aku yang lain. Menandakan aku ini adalah yang teristimewa dikalangan mereka. Tetapi tiada pun riak muka cemburu daripada mereka, aku hairan. Senyuman yang mereka lemparkan pada aku sungguh aneh, tidak seperti selalu. Abang aku yang selalu cerewet tentang makanan hari ini membisu sahaja. Mereka seperti sedang sembunyikan sesuatu daripada aku. Tapi masih bersulamkan senyuman yang ikhlas. Aku bingung.

Selesai mengunyah sesuap nasi, emak bertanya : "sedap tak syukor?" aku tidak menjawab lantas aku sambung menikmati keenakan masakan emak. Pada saat ini aku rasakan aku berada dengan sekumpulan bidadari yang melayan aku seperti putera raja. Makin aku bingung apabila makin aku menikmati makanan tersebut sehingga separuh habis, makin menghilang wajah - wajah indah dihadapan aku. Kian makin pudar.

Air mata aku berlinangan sambil lekas aku menghabiskan makanan yang sedia ada. Pada suapan yang terakhir, wajah emak tersenyum lebar sambil disampaikan pada aku, "emak sayangkan kamu" tetapi tanpa suara, hanya mimik bibirnya sahaja. Terus lesap semuanya setelah aku selesai menikmati segalanya.

Cis, tidur aku tadi dibuai dengan mimpi yang sangat suspen. Aku takut kehilangan orang yang sangat aku sayang. Dan telah disampaikan rindu aku pada mereka di kampung halaman. Tunggu aku pulang. Aku rindukan kalian.

Ahmad Syukor B. Abd Razak

Selimut

Kala ribut menghembus. Pada malam hari yang kian semakin dingin. Aku pura - pura menikmati kesejukan nafas sang alam sedangkan aku takut didiami kekalutan.

Pada malam, dikala embun mulai menyemarak kan kegelapan serta didampingi sunyi. Aku menyendiri dalam segumpal udara nyaman, mencuri sedikit demi sedikit keindahan pada malam hari serta bersulamkan ketakutan. Masih, dalam keadaan fikiran membeku, tenung pada langit yang makin gelap.

Pada waktu ini lah, aku berhenti mengintai dari tingkap. Lekas bagai kelam kelibut aku dengan gopoh bergerak ke tilam. Tanpa berlapik-kan cadar, berbekalkan bantal yang langsung tidak empuk tanpa bersarung. Ini sahaja yang tinggal, pada diri seorang pelajar yang mempelajari pelbagai perkara.

Ahh, aku masih ada sebentang(seorang) selimut. Sentiasa menemani aku dikala aku berada dalam ketakutan. Yang menemani aku dikala aku kesunyian. Yang menemani aku dikala aku ingin bercerita. Yang menemani aku dikala aku berteriakan! Yang menemani aku dikala aku dihentak emosi. Umpama aku ada segalanya dengan hanya satu selimut.

Nota : Ketakutan yang aku maksudkan bukan sekadar takut. Tapi merangkumi segala jenis emosi dan rasa suspen, rindu , cinta dan sebagainya.

Ahmad Syukor B. Abd Razak

Tuesday, November 1, 2011

Perbicaraan Dengan Bulan

Hujan semakin reda, menunggu awan hitam berisi takungan yang berapungan beredar dari ruang udara yang memperlihatkan langit. Segera aku persiapkan diri, bertenggek dihadapan buaian. Ditemani serangga - serangga kecil yang keluar mencari udara segar.

Aku nampak kelip - kelip. Bertebangan secara rawak, mewarnai ruang yang kosong dengan cahaya semulajadi hasilnya. Ini semua ciptaan Tuhan. Indah bukan? Aku terpegun. Tanpa berkelip mata, aku dibawa keawangan oleh kelip - kelip tadi. Berlatar belakangkan bulan. Eh? Bulan! Terima Kasih sikelip.

Senyum itu, sangat aneh. Aku melihat dengan penuh tumpuan, walaupun ada luka , cela disekitar tubuh, masih lagi tersenyum lebar. Cedera bukan alasan untuk tidak menyempurnakan kebahagiaan. Dan semakin dekat aku merasakan cahaya itu dengan ku.

Bulan, cerah kau menerangi bumi. Cacat cela kau dicipta masih kau berusaha menjadi yang terbaik. Bulan, seringkali kau menjadi saksi pada malam hari. Melihat kelibat manusia yang berakal menjadi gila, gila bayang, gila foya, gila - gila. Merebut harta meragut nyawa serta menjadi khayal. Malam menjadi riang - ria buat mereka yang mendiami syuga dunia. Bulan, segala gerak geri Makhluk ciptaan Tuhan telah kau saksikan, apakah kau ini bukan sembarangan?

Masih tersenyum, ahhhh...aku pula yang mengundang tanda tanya. Tentang kejadian huru - hara yang tak tersiar bebas, bulan masih lagi mampu tersenyum. Aku masih lagi bertenggek. Menghirup sedikit demi sedikit minuman yang dibekalkan semasa persiapan. Ini hobi aku, melihat bulan selepas hujan.

Aku nampak bintang, berkelip indah menemani bulan yang nampak kesunyian. Ia mempunyai ramai sahabat karib, yang sentiasa menemani antara susah dan senang. Walaupun tiada dikesan udara, tapi mereka hidup. Ahhh...aku berkhayal. Tapi, bulan. Kau Indah.

Ahmad Syukor B. Abd Razak