Friday, July 24, 2015

Dialog Kotaraya - 1

Din : Mat, kau rasa benda yang kita tengah buat ni, orang tua kita pun biasa buat tak eh?
Mat : Tak tahu la Din. Yang aku rasa sekarang ni, kalau kita tak buat benda ni kita tak makan. Sekarang ni kau lapar tak? Sebab aku dah tak boleh tahan dah ni. Jom siapkan benda ni dulu pastu kita selesaikan masalah kat otak kau tu Din.
Din : Masalahnya Mat, kalau aku tak selesaikan masalah kat otak aku ni aku tak boleh makan. Tak ada selera la Mat.
Mat : Din. Hidup ni Din, tak boleh banyak fikir tahu? Apa yang berlaku sekarang ni barangkali tak ada kene mengena langsung dengan apa yang orang tua kita pernah buat dulu. Kita pun tak tahu kan? Masalah kita sekarang ni kita terdesak, bukannya kita memang nak buat benda ni sangat. Aku tahu la salah, tapi kita terdesak Din.

Keluh Mat dalah nada sederhana tegas. Dia tak mahu rakannya tersinggung dengan kata - kata kesat. Mat ni bagus, remaja awal 20-an yang pandai berdikari. Dalam suasana sibuk hidup ni bandaraya, kena pandai bawa diri.  Apa sahaja peluang yang ada, disambar Mat cepat - cepat. Cuma kerja kali ni sahaja yang tak menepati cara hidupnya. Tapi apakan daya, sudah terdesak dan terpaksa.
Dengan cepat Mat mengambil bungkusan atas meja yang telah disediakan dan bersedia untuk menjalankan tugasnya. Sementara Din masih lagi tercegat kaku ditepi pintu, Mat menariknya keluar dan menaiki motosikal untuk berangkat ke destinasi yang diberitahu bos mereka.

Di atas moto, mereka berborak panjang. Destinasi pun lebih kurang 10 minit jaraknya satu hala. Mat banyak beri nasihat. Tapi bunyinya macam dengar macam hilang. Atas moto, bercakap dalam keadaan angin kuat, apa yang kau nak dengar sangat. Habis teruk pun air liur orang depan je lebih bersembur dekat muka.

Semasa sampai ke destinasi, Din tercegat. Tak macam Mat, yang dah biasa dengan kerja macam ni.
Sampai ke kondominium mewah dalam bandaraya Kuala Lumpur, Mat menyuruh Din melihat dan belajar apa sahaja yang dia buat. Dari cara bercakap dengan pengawal keselamatan warga Nepal, cara tekan butang lif, cara menekan loceng rumah dan sehinggalah sampai waktu bertemu dengan individu yang memesan benda tersebut. Setelah selesai semuanya, mereka pulang.

Sewaktu perjalanan pulang Mat dengan Din langsung tak bercakap. Barangkali masing - masing ada timbul rasa bersalah. Masing - masing memikirkan sesuatu. Setelah tiba di lokasi asal, mereka memberi wang yang telah dibayar oleh individu tersebut kepada bos mereka.

Bos : Din! Kau dah faham cara kerja macam yang Mat dah tunjukkan? Tanya bos mereka yang sangat tegas.
Din : Faham bos! Menjawab dengan nada terkejut sambil terkebil - kebil ketakutan.

Mat mengajak Din lepak diluar. Masing - masing mencucuh sebatang rokok. Sedutan pertama, sedut dan lepas. Si Mat melepas panjang. Din memerhati, dia tahu ada sesuatu yang akan dikatakan oleh Mat.

Mat : Din, aku tak rasa apa yang kita buat sekarang ni orang tua kita pernah buat.
Din : Apa penjelasan kat Mat?
Mat : Zaman dulu mana ada servis McDelivery macam ni. Orang tua aku dulu usahakan kebun kat kampung. Bapak kau pun sama Din, kan bapak kau tu adik bapak aku. Kitakan sepupu.
Din : Ye tak ye jugak Mat!

Monday, May 4, 2015

Yang Baru

Pernah sekali waktu dulu aku berpura-pura mahu tahu, aku jadi pilu,

Jadi, cukuplah sampai disini. Sisa-sisa yang tak harus ikuti aku kemana-mana. Kau harus dibelakangkan, demi kebaikan aku.

Setiap yang terjadi pasti ada hikmah selepasnya. Walau terjadinya bukan kebetulan, ianya memang benar-benar diatur Tuhan.

Sampai sini, apa yang aku pelajari memang cukup sebati. Kutip setiap batu yang dijumpai dalam perjalanan hidup, sebagai ingatan dihari kelak.

Friday, April 17, 2015

The biggest S

Sebelum tertutup tirai senja, masih ada sesuatu yang mampu dimiliki. Barangkali yang terakhir.

Teranglah! Wahai mentari pagi, dengan senyum yang kau ukir tanpa jemu. Maka genaplah seluruh pelusuk dengan nafas cahayamu.

Usah digandakan lagi apa yang telah ada. Sesudahnya apa yang tinggal ini masih cukup hendaknya. Berbaki bekalan bertahun lagi, kenapa masih mahu mencari? Sungguh kadang - kadang kita tak pernah merasa cukup, sedangkan apa yang ada ini jauh lebih baik dari sekalian manusia yang belum pernah dapat merasanya. Sebenarnya, ia lebih daripada mencukupi.

Pernah sekali, bila kita rasa mahu mati. Tinggalkan semua disini dan berlalu pergi. Berharap agar kesilapan yang sedia ada ini dibetulkan suatu hari nanti. Tetapi itu adalah keputusan untuk melanggar takdir. Kerahkan sedikit kudrat mu, hasilkan sebuah usaha. Yang sebenarnya permulaan yang sedikit itu lebih baik, kerana ia beerti seribu kesabaran.

Itulah nikmat satu kesyukuran. InsyaALLAH.

Sunday, December 28, 2014

Lelaki, Curang dan Rock & Roll - Akhir

Untuk terakhir kali, Jelita, sapukan air dimata mu.

Bertahun aku mencari kau, kini kau kembali. Sewaktu aku sudah tak mahu. Sewaktu aku sudah tak peduli. Sewaktu aku menguderaikan ceritera. Maka kau, kembali.

-------------------------------------------------------------------

Kau ingat, kan? Tanya Zara setelah selesai menjamah makan malam pertama kami bersama. Ditemani cahaya malap, lilin yang menemani kami bersama beberapa pilihan lauk masakan kampung. Air tangan Zara.
Ingat apa? Rasa ni? Masak lemak cili api ni? hehehe. Ya, aku ingat. Kau cinta aku pertama. Ni, masak lemak ni, dapat aku rasa lembut kasih didalamnya. Apa kau pakai guna - guna ya? Hehe.
Lalu aku tenung matanya erat, renungan yang seumpama genggaman tangan yang kuat. Hanya lirik bisu yang menerangkan betapa aku cintakan kau Zara. Melalui pandangan mata ini, mengharap kau balas dengan senyuman. Yang selalu melemaskan aku dalam khayalan rindu, setelah kau mendakap aku dalam setiap senyum mu. Zara.

-------------------------------------------------------------------

Itu kali pertama dan terakhir kami berasmara. Hanya dengan hidangan makan malam ringkas dan ditemani sebatang lilin wangi. Walaupun tak banyak untuk diceritakan, namun detik itu, detik yang paling bermakna dalam hidup aku. Pelengkap sebuah kotak memori. Yang aku takkan padam buat selama hidupku. Zara.
Sekurang - kurangnya aku berjaya membantumu dalam usaha mencari hidayah. Cintamu pada aku kerana cinta mu pada Tuhan mu. Aku bersyukur.

Selesai sujud terakhir, doa ini aku panjatkan untuk mu, Zara. Harap kau tenang menghadap Tuhan mu. Cinta yang tak pernah putus. 

Aku dan Zara, 28 - 12 - 2014.

Terima Kasih.

Monday, December 15, 2014

Lelaki, Curang dan Rock & Roll - 9

Jiwa, bebaskanlah segala duka lara yang memendam dalam karung rasa mu. Adanya ia seringkali membunuhmu dari dalam. Nafasmu kau biarkan sahaja, menghembus tepat kemuka. Biar memori pahit itu berhentak lalu berderai.

Ruang jajahan, paksi tersebut telah terpinda. Kerana sesuatu yang tak mampu lagi aku elak mahupun menghalanginya. Benar, sakit ini sukar untuk aku lupa. Tapi perit ini juga yang mengajar aku erti kekuatan. Sabar, itu dikatakan iman.

Bak jejari yang memainkan irama cinta pada tali gitar, merdunya menusuk ke dalam telinga. Susuk tubuh yang menggiurkan, setiap kali aku kesunyian kau setia meneman. Cinta, walaupun pada kau sebuah gitar kaku, aku yang menambah rasa sekiranya kau tetap bisu.

Ini kali terakhir, kalau yang ini tak menjadi aku sendiri berlalu pergi. Aku janji, kau ngerti? Sepertimana aku lakukan sedikit demi sedikit, aku tahu ia belum mencukupi untuk mebuat kau fahami. Cuma tinggal sedikit masa sahaja lagi, antara gagal dan berjaya, antara duka dan gembira. Jika kau izinkan, aku mahu pilih kedua - duanya sekali. Sekiranya aku gagal aku masih dapat mendapat bahagia, dengan kau Karina. Please?

Dia tenung mataku dalam - dalam. Karina memang bengis orangnya, tetapi pada sesuatu masa, dia manja. Riak mukanya celaru, samada mahu terus marah atau bersedih. Maaf, aku tak rasa kita aku boleh terus percayakan kau. Jawabnya dengan nada esak. Tangis disimpan untuk teriak di rumah kelak. Sekarang harus kawal emosi, mesti kuat. Untuk menjatuhkan aku seorang lelaki, bukan mudah. Tapi Karina nampak terus bertahan.

Please, will you just give me a little time? I will double the effort, will make u even happier than before.
Aku tak pernah bahagia, jawabnya lagi. Kali ini Karina nampak benar - benar sedih. Dia bangun dan berlalu pergi. Aku lemah, kejantanan aku harus aku rendahkan supaya aku terus menghormati gadis jelita ini. Yang masih menduduki takhta dalam hati aku sehingga kini. Dia, masih pilihan hati.

--------------------------------------------------------------------------------

Itu cerita 8 tahun lalu, masa aku bingung dan masih mangkuk. Kejar cinta hingga tinggal cita - cita. Mak bapak kat kampung aku letak tepi, kejar cinta lagi penting. Muda, itu sahaja yang aku mampu kata. Kata orang, lelaki lambat dikit untuk mencapai klimaks kematangan minda berbanding perempuan. Tapi ada kalanya aku lihat sebaliknya. Kata orang, kata - kata dari orang jangan dipercaya bulat - bulat. Kata orang lagi, kata - kata dari orang harus disimpan, jangan dibiar tersebar. Kelak benar atau tidaknya kita yang harus tanggung. Kata orang, aku tak boleh jadi hero. Kata orang, aku bukan pilihan yang terbaik untuk mereka berkawan. Itu semua kata orang, yang kau percaya bulat - bulat dan kau menuding jari terus tepat mengena batang hidung aku disini, apa kau fikir aku terus tunduk dan mengiyakan sahaja? Kata orang, aku ini berbahaya. Kata orang, langsung tak boleh dipercaya.

Masih lagi dibangku taman, tempat aku berhabis masa dengan Karina. Kenangan takkan pernah luput, walaupun kita usaha hingga bergelut. Masih melintas halaman fikiran, aku terus terduduk. Memori ini yang paling perit untuk aku lupakan. Tapi aku harus terus berusaha, membuang dia dalam khayalan. Untuk cinta baru yang bakal menjelma. Harap ianya tidak tertunda.

Tuesday, September 30, 2014

Lelaki, Curang dan Rock & Roll - 8

Bintang malam, terasa langkahku semakin kecil bila kudongakkan kepalaku ini. Melihat bintik-bintik putih disebalik tirai langit malam ciptaan-Mu, Tuhan.

Cuma, jangan salah sangka. Jodoh itu memang aturan Tuhan. Sedangkan kau disini, duduk akur dengan keputusan orang tuamu. Tapi dalam hati masih memberontak, ini salah Azie. Kurang-kurang kau patut bersuara! Untuk orang tua kau memahami hati kau yang sedang memberontak.

Itu kata-kata terakhir aku kepada Azie 3 tahun lalu. Sewaktu Azie pulang dari majlis konvokesyen, graduasi para pelajar cemerlang. Sememangnya dia ini gadis yang mematuhi ajaran ibu bapa lagi-lagi hal-hal berkaitan dengan agama. Bagi aku, dia ini seorang yang redha. Baik lagi ayu orangnya. Meskipun bertudung labuh menutupi aurat bahagian dada, masih kelihatan seri dan jauh lebih cantik dari gadis-gadis jelita berpakaian seksi diluar sana. Malah dia antara individu yang disenangi orang ramai. Termasuklah aku.

'And here we go again Kuala Lumpur.' Kotaraya yang tak pernah sunyi, siang malam tak lekang dek bunyi. Huuuhhhhhhh, aku melepaskan nafas lega sejurus sahaja kerja aku siap. Mata aku dah naik jemu melihat skrin komputer. Letih menaip. Kalau nak dibandingkan jari-jemari aku dengan otot lengan, aku rasa jari ini lebih padu kekuatannya. Ah, biasa. Sepatah dua kata ayat untuk memuaskan hasil kerja sendiri selepas selesai tugasan harian. Bukan aku seorang saja yang buat macam ni. Ali, siap berdiri atas kerusi terkinja-kinja tak sabar nak pulang. Maklumlah orang berbini. Dah berapa bulan aku kerja disini. Sejak hari pertama aku bekerja sebagai mat despatch, hari ini aku dah bergelar kerani. Aku sedikit disenangi bos dari kalangan pekerjanya. Bezanya, aku cuma perlu tambah sedikit rajin dan elak terlalu mengampu bos. Setel! Seharusnya memang kena macam tu, kerja kena ikhlas baru dapat berkat. Sekarang dah boleh pulang.

Jam menunjukkan tepat pukul 5.30 petang. Memang dari pagi tadi aku niat menaiki tren ke tempat kerja. Dari pagi langit mendung tak seperti biasa, khuatir aku jika hujan waktu petang nanti susah hendak pulang. Dan memang sangkaan aku tepat! Hujan sangat lebat, ramai penunggang motosikal terpaksa berhenti dibawah jejambat untuk berlindung dari hujan. Waktu begini jika aku dapat menghirup segelas kopi dan bertemankan senaskah surat khabar, memang nikmatnya itu Tuhan saja yang tahu. Lagipun, untuk bersesak pulang dalam tren bukanlah pilihan yang baik. Aku masih ada masa untuk menikmati minum petang dan pulang sedikit lewat. Daripada aku perlu hadap sesak manusia didalam tren malah distesen menunggu, lebih baik aku mengenakan secawan kopi. Dalam keadaan separa stress ini, aku memutuskan untuk berjumpa Azie di restoran tempat dia bekerja. Hanya beberapa minit masa berjalan kaki dari pejabat aku bekerja melalui laluan pejalan kaki berbumbung terus ke kompleks membeli-belah dan terus ke aras dua. "Secret Resipe", kataku dalam hati.

-------------------------------------------------------------------

Mana senyuman kau Azie? Aku ni kan pelanggan. Ish, patut la kerja disini walaupun ada ijazah. Budak cemerlang bermasalah. "Aku kena paksa nikah." Itu jawapan yang keluar dari mulutnya selepas aku berleter. Kesian. Jawabku ringkas. Budaknya baik, tapi atas masalah keluarga yang dihadapinya, Azie semakin hari semakin murung. "Tak sampai hati", bisikku dalam hati. Macam ni, kau pergi belakang ambilkan aku secawan kopi. Cafe latte please. Dia terus ke bahagian bar dan bawakan aku secawan cafe latte selepas lebih kurang 2 minit disana. Tanpa berlengah aku hirup buih dibahagian atas minuman tersebut. Sedap, segar. Aku mempelawa Azie untuk duduk walaupun aku tahu prosedur kerja di restoran ini tidak boleh duduk dan hanya dibenarkan jika dipelawa oleh pelanggan pada sesetengah tempat.

Jom ikut aku nak? Tanyaku selamba.
Pergi mana?
Siam, barangkali.

Matanya merenung tepat anak mata aku. Aku tahu dia sedang memikirkan sesuatu.

Nikah? Azie bertanya dalam nada yang berbeza.
Kalau kau mahu, aku iyakan saja.
Baik aku setuju, aku percayakan kau. Lebih baik aku jadi isteri kau daripada aku kena paksa nikah dengan orang yang memang aku tak suka. Dia jahat aku kenal, kau nakal. Jawab Azie.

Aku bingung mendengar jawapannya. Gadis cemerlang berubah menjadi kurang akal selepas menghadapi masalah yang sering memaksanya berfikir lebih dari kemampuan. Aku nakal? lebih dari itu Azie. Kau setahun jagung, apa kau tahu. Beza kita hampir 10 tahun. Aku ni dah anggap kau seperti adik aku. Lagipun kau masih ada masa untuk ubah masa depan kau. Nun jauh disana, masih cerah untukmu Azie. Aku hanya diam dan berbicara dalam hati. Aku takut dia terasa hati.

Kau percaya Tuhan masih ada? tanyaku lagi.
Mestilah!
Habis, kau rasa ikut aku lari dan nikah di Siam dapat selesaikan masalah kau? Bagaimana dengan masalah aku pula untuk sara kau sepanjang hidup? Ada kau fikir? Azie, dengar sini. Kau dah banyak berubah. Dari segi fizikal mahupun mental. Aku selalu disini, aku tahu kerana aku sering memerhati. Cuma menolak untuk membantu, aku bimbang dituduh masuk campur. Tapi sekarang makin sirius. Dengar sini Azie! Dengar dan fokus! dan jangan menangis! Kau tahu Tuhan itu sentiasa ada, ini ujian kau dengan Dia. Setulus mana cinta kau pada Dia, sekarang kau buktikan! Kau tahu kau harus taat pada ibu bapa. Apa kejahatan yang dilakukan bakal suami kau? Main perempuan? Itu kau kata jahat? Sebenarnya kau cemburu, kau hanya takut dia akan menduakan kau satu hari nanti. Dia punya hak sebagai seorang suami dan dia juga punya tanggungjawab untuk menjaga kau. Paling tidak, mesti dia sanggup berubah demi menjaga maruah keluarga kau dan keluarga dia. Fikir, takkanlah orang tua kau sengaja nak seksa anak mereka sendiri? Semestinya mereka inginkan kebahagiaan untuk anak mereka. Sekurang-kurangnya seseorang yang bertanggungjawab untuk menjaga kau Azie. Yang memberikan kau alasan sekarang cuma perasaan cemburu kau sahaja Azie. Cemburu! Itu yang kau harus ketepikan. Buang perasaan itu dan kau jumpa jalannya. Percaya kataku Azie. Aku lelaki.

Matanya bertakung. Entah apa yang difikirnya. Aku menasihati dengan nada marah. Aku sayangkan dia sebagai seorang adik. Aku tak mahu masa depannya dirobek perasaan marah dan jiwa memberontak yang sering sahaja kononnya mahu bebas. Tahi. Apa aku ada sekarang hasil dari jiwa rebel yang aku agungkan dari dulu? Kalau seluk poket belum tentu ada wang lebih untuk dibelanjakan. Bila aku lihat keadaannya, sebiji seperti yang berlaku pada aku dulu. Bezanya aku lelaki. Dan sekarang masih sempat untuk mengubah kekecewaan yang bakal menimpa dia kelak.

Benar. Jawabnya. Nadanya biasa meskipun matanya bertakung. Kuat peribadinya. Aku kagum. Kau balik nanti, lewat malam bangun lah buat solat sunat. Semuanya sekali. Esok pagi selepas solat subuh, kau telefon orang tua kau. Minta ampun dan minta berkat. Setuju sahaja percaturan mereka. Aku yakin kau akan ketemu bahagia. Aku mahu pulang, air ni kau bayarkan. Anggap sahaja bayaran khidmat nasihat dari penasihat tak bertauliah. Terus senyuman terukir dibibirnya. Manis, seperti kali pertama aku jumpanya dahulu. Dari jauh, senyumannya masih tak lekang sambil melambai tangan. Sehinggalah aku beralih arah disebalik tembok yang memisahkan pandangan kami berdua.

Tuesday, June 10, 2014

Lelaki, Curang dan Rock & Roll - 7

Pakai kasut, tengok depan dan jalan. "Move on" kata mereka. Bagi aku, itu "bullshit".

Sejak sahaja apa yang aku rasa semenjak dari kesakitan awal yang mula merebak keseluruh nadi jiwa raga. Sakit ini sudah lama aku lalui, aku pendam tidak dijadikan dendam. Aku cuma menunggu satu masa dimana mereka semua sudah puas berfoya dengan kehidupan dan kegembiraan sementara yang dilaungkan yang dipaparkan pada segenap inci waktu berlalu, saat mereka sudah puas dan ingin kembali, saat itu aku tetap menanti dan memerhati.

"Sedangkan kifarah itu tanda Tuhan sayangkan hamba-Nya, mencuci dosa - dosa kecil yang menggunung dalam hati." Kau nak percayakan karma? Ikut suka.

Belum tentu diantara mereka yang akan kembali dan melutut memohon maaf, jadi tiada guna aku maafkan mereka. Jerit Lydia sekuat - kuatnya, dihadapan cermin yang memantulkan wajah kami berdua. Dahi aku berkerut, lalu aku bertanya. "Apa kau tujukan pada aku juga?" Ya, jawabnya ringkas. Jadi kau jeritla sekali lagi, tanda aku terima dan setuju dengan luahan yang didorong amarah kau tersebut. Terus Lydia memandang tepat ke mata aku melalui pantulan cermin, dengan riak muka yang berang. Aku tenang dan menghembus nafas perlahan.

Lydia, kau perlu ingat. Apa sahaja yang kita lakukan, baik atau buruk, pasti ada balasannya. Berganda atau tidak, itu terpulang pada Tuhan. Kuasa-Nya tanpa batas, sedangkan suara yang kau laungkan tadi jika tidak diizin-Nya, maka kau bisu! Dahi Lydia terus berkerut. "Apa kau marah aku juga?" Tidak, jawabku ringkas. Yang sebenarnya aku tidak suka kau marah. Lagi aku benci bila kau cepat menuding jari, macamlah kau tak pernah buat silap. Dan Lydia, seboleh - bolehnya kau perlu ubah rasa dan persepsi kau tentang "silap". Manusia melakukan kesilapan, kecil atau besar. Ia bertujuan pada kita sendiri untuk belajar dan mendapat pengajaran dari kesilapan tersebut. Bukannya untuk dipijak sampai seseorang itu rasa hina. Begitu juga dengan kita Lydia! Lydia tunduk sayu, air matanya mengalir deras. Aku faham perasaan Lydia, lagi - lagi dia seorang perempuan yang lurus. Sering sahaja ditipu oleh teman - teman, apatah lagi diambil kesempatan. Aku bersimpati terhadapnya. Aku tahu, perit rasanya apabila dikhianati keikhlasan yang kita taburkan untuk memberi kebahagiaan pada orang lain, sedangkan kita masih di takuk yang lama dan masih bersendirian menanggung derita. Perit.

Maafkan aku Lydia, aku cuma sampaikan apa yang aku rasa. Aku sudah pendam rasa ini sejak aku kecil lagi. Ada sesuatu yang masih belum aku rasa puas. Tapi aku tetap tunggu saat untuk mengecapi ketenangan, walaupun saat itu adalah pada akhir nafasku nanti.

Apa yang kau tunggu? Tanya nya bingung. "Maaf" jawabku ringkas.