Monday, May 16, 2011

Suara

Dalam dingin angin malam aku terjaga dari keselesaan*

Yang sebenarnya aku tak pernah menghakis segala kekotoran yang melekat. Lekit - lekit kejahilan yang masih bersisa yang dahulunya bertakhta memerintah nafsu serakah. Jahil menjadi teguh sementara wangian tidak lagi sesuci mulanya.

Aku dengar suara kakak, aku menangis, tiada lagi purata untuk perbicaraan aku, yang ada hanyalah titisan air mata beserta tangisan. Kumat - kamit yang aku gimik hanyalah untuk keredaan terhadap diri sendiri. Aku buntu dikala itu, esak aku masih tak henti. Lalu aku dipujuk, lisan kata - kata semangat yang ditujukan kakak. Sedikit reda.

Aku dengar suara kawan, aku reda semula. Ya, aku berpura - pura. Kerana aku tidak mahu sehuruf pun yang mereka tahu tentang aku. Aku bukan perogol, aku bukan penyangak, aku bukan penjual senjata api. Tapi kadang - kadang sesuatu tentang diri terpaksa kita simpan. Aku merahsiakan sesuatu, rahsia yang aku simpan dengan sendiri.

Aku dengar suara abg, aku kaku. Kali ini dia betul - betul mengambil berat tentang aku. Lantas aku menyedari caci maki yang dia kemukakan dahulu memang disengajakan. Kerana dia tahu, aku tak makan dengan pujuk lembut. Dia pantas mengenali aku.

Aku dengar suara ayah, kali ini aku langsung tidak tinggi suara. Bergurau, marah atau bongkak. Aku berbual selama satu minit tiga puluh saat menggunakan telefon. Tahniah aku ucapkan kepada ayah kerana itu adalah perbualan telefon kami yang paling panjang setakat ini.

Aku dengar suara emak, aku sebak. Memang aku sangat rindukan usap manjanya. Dari dahulu aku memang mengada - ngada dengan emak. Mujur emak memahami, aku adalah anak lelaki kandungnya yang bongsu. Walaupun telah banyak dosa yang aku kumpulkan, emak tetap memaafkan aku dan kemaafan adalah kelemahan aku.

Aku dengar suara adik, mata aku bertakung. Mujur empangan aku kuat menahan air mata dari mengalir. Kali ini aku tak mampu jadi keras. Aku hanya kuat bedasarkan hati yang lembut. Dahulunya aku sangat baran kepada kenakalan adik - adik. Pantas sahaja tangan aku sampai pada anggota tubuh mereka. Yang masih terngiang - ngiang hingga kini, tangisan yang aku paksa mereka luahkan. Itu dosa aku pada adik. Maafkan aku, aku sangat sayang kamu berdua.

Aku dengar suara aku, aku marah. Telah aku bantah segala kejahatan yang mengusik mahupun merasuk. Aku adalah juara, aku mampu mengalahkan sifat api dalam diri. Lalu aku berasa tenang seketika. Sempat aku berfikir dengan saat yang dipeluangkan untuk menempuh dugaan mendatang. Aku bersedia.

Suara,
Ahmad Syukor B. Abd Razak

1 comment:

  1. ur writing make me....urm!u know what i counting my days..can't wait to meet u..i don't want to miss even a single little thing that happen to you..oh God!

    ReplyDelete