Tuesday, May 1, 2012

Bila Awan Menangis

Bermaustatin sebentar, kelibat awan - awan hitam yang penat membawa takungan air yang diserap dari bumi. Lumrah alam, sudah kejadiannya begitu. Tangisannya tidak di-pulaukan. Sang angin, ribut dan petir tak lupa juga kepada kilat dan bunyi - bunyian garang yang dihasilkan oleh guruh. Besarnya kuasa ILAHI, sebelum menghancurkan bumi manakala hanya membentangkan suara-Nya. Pada ketika ini, cukup membimbangkan aku. Adakah cukup dengan kata - kata, atau sekadar amal yang aku belanjakan untuk melintas dunia sementara kelak. Goyah, meremang malah menggeletar tubuh aku. Dan suara itu lagi sekali, memanah khayalan aku. Lalu jatuh ketakutan, memeluk sebuah ukiran yang mengeluarkan bunyi - bunyian lalai yang baru sahaja sebentar tadi dimainkan aku. Mak, ayah. Adapun salah dan silap aku sebelum ini mempengaruhi banyak kejadian semasa. Aku memohon maaf bagi pihak hati dan jiwa yang tak berdosa. Adapun dugaan yang baru sahaja merempuh kehidupan aku semalam, adalah kifarah yang sedikit sebanyak menghapuskan dosa - dosa kecilku. Aku redha. Mungkin belum masanya aku bertemu KAU. Tapi aku berdoa, biarlah jasad dan roh ini dalam keadaan bersedia. Bila awan menangis, segala khayalan yang muncul mula melarat hingga menjadi mimpi. Malah sebahagian dari mimpi tersebut terpahat sebagai memori. Yang selama ini aku terfikirkan, aku belum alami, cuma aku sudah melayari. Ahmad Syukor B. Abd Razak

Thursday, January 19, 2012

Sebuah Ringkasan Buat Adinda

Kedatangan yang dinanti. Pemergian yang dihindari.

Mungkin, pada waktu itu aku banyak menyakiti dengan menusuk perasaan kamu melalui berbicara mahupun perbuatan. Namun hati ini tak dapat menahan sakitnya pantulan kesabaran kau. Menyedari akan kesalahan yang pada hakikatnya, langsung tidak layak menerima kemaafan. Bagi aku, ini anugerah Tuhan yang luar biasa.

Mahu sahaja aku lihat, seringkali pada penglihatan mereka, bicara mereka, pergerakan mereka, lumpuh kerana cemburu yang mereka semai terbantut dek kekuatan perisai keikhlasan ini. Ya, sudah tentu persediaan dengan bala tentera mereka tidak mudah untuk dipatahkan. Namun oleh kerana hati kau keras menyatakan kau adalah milik aku.

Terima kasih adinda. Kerana buat pertama kali, aku benar - benar jatuh hati. Pertama kali juga, lahirnya rasa ini yang tak pernah ada walaupun sudah sekian lama, bersilih ganti dan akhirnya kau yang pada mulanya bukanlah siapa - siapa, berjaya merampas takhta dihati ini. Kau PERMAISURI.

Aku rela. Sekiranya kau meminta, apa sahaja yang termampu aku kabulkan. Asalkan bukan sebuah istana yang asalnya dari kayangan dan juga permintaan dari nafsu yang dahagakan harta benda. Aku percaya, cinta ini adalah realiti dan keinginan kau bukanlah dari yang gila. Aku tolak fiksyen, kerana pada aku kita adalah objek yang dimuliakan.

Bermula pada detik ini, aku perjudikan segala hak kepunyaan aku untuk memiliki kau dalam apa jua keadaan sekali pun. Ini usaha dan doa aku, pada ketentuan Ilahi yang mengadili.

Ahmad Syukor b. Abd Razak

Friday, January 13, 2012

Panjatkan Kesyukuran

Dosa dan pahala tuhan sahaja yang tahu. Percaturan dunia dan akhirat, usaha pada tangan manusia, jawapan pada keputusan ilahi.

Ini, cerita pada masa tertunggaknya tanggungjawab seseorang kepada seseorang lagi. Pada hakikatnya waktu itu, dia penuh dengan kemewahan. Bukan harta benda, akan tetapi hanya selonggok kebahagiaan yang salah dibahagikan. Ya, itu lumrah hidup, ada yang lebih, ada yang kurang dan ada yang terpinggir.

Saat itu, tampaklah pemberontakan terhadap sesuatu yang ditekan-kan. Hanya kerana mahukan secebis perhatian, pengorbanan yang banyak harus ditabur. Ini lah hakikat, apabila seseorang itu diabaikan siapa - siapa yang empunya hak sepenuhnya untuk menjaga, tidak dibuat secara adil.

Tapi kali ini, bukanlah itu yang perlu diperkotak - katikkan. Perkara kecil itu harus diketepikan kerana ada kebahagiaan yang besar sedang menanti. Sipolan ini telah mendapat curahan kasih sayang dari seseorang yang tidak disangkakan. Muncul dihadapan berkali - kali. Bagai mimpi yang membuai anak kecil, bahagianya sehingga senyum berminggu. Pada waktu itu, "aku lah bulan,aku lah matahari, aku lah bintang dan aku lah segala - galanya". Tuhan maha adil, itu yang mampu aku ungkapkan dalam pernyataan ini. Seadil - adil bicara seadil - adil perkara. Alhamdulillah.

Semalam, tangisan aku didengari teman rumah. Mereka sekadar bertanya, adakah aku ini dalam keadaan baik? Jawab aku, lebih daripada baik. Doa aku pada malam itu, harapkan sudah hampir sampai pada sisi-Nya. Untuk dinilai, adakah layak permintaanku itu ditunaikan. Sehingga sekarang, aku sedang rela diadili dengan kelakuan aku.

Ahmad Syukor b. Abd Razak

Thursday, January 5, 2012

MIMPI

Aku menyesuaikan diri,
untuk berasa selesa apabila melelapkan mata.
Memulihkan kudrat yang dikerahkan sepanjang mentari terbit.
Cahaya yang terang menjadi malap,
Sang bulan menjadi lampu tunggal dan ditemani bintang - bintang,
Membuai aku dalam kelip - kelip cahaya.

Disaat itu,
aku mulai hilang dari kenyataan,
muncul dilapangan,
yang tinggal aku seorang.

Mimpi, meleraikan nyata dari realiti,
melangkah ke alam maya,
mencipta sebuah lagenda.

Aku berlari, yang mengejar aku adalah bayang - banyang.
Aku mencari, yang aku kejar hanyalah ilusi.

Aku sesat dalam mimpi,
makin aku jauh dari hidup sebenar,
Aku ingin lari jauh,
Tolong sedarkan aku untuk kembali pada realiti.
Aku seorang diri dan terus mencari arah lain,
Untuk keluar dari mimpi.

Aku merentasi segala - galanya,
nafas semakin kencang, terduduk keletihan.

Dimanakah nokhtahnya?
dimanakah pengakhiran jalanan?
Luka yang berdarah tidak terasa sakitnya,
jejak yang tertinggal hilang tapaknya.

Celik,
lantas bergegas mengejar rutin harian,
langkah - langkah aku pula semakin layu,
fikiran masih melayang - layang,
terbayang pada buaian mimpi.

Ahmad Syukor B. Abd Razak

Friday, December 23, 2011

Ini Masalah Aku

Kekerapan menunjukkan sikap manja, dimana aku yang rasa patut membolot semua perasaan yang dia luahkan. Aku cuma mahukan setiap rasa dan luahan dia adalah pada aku. Aku cemburu kabur apabila aku terasa dengan keakraban dia bersama temannya yang lain.

Shit! itulah perkataan yang amat sesuai dilabelkan pada aku. Harus dipampang besar - besaran seperti sepanduk yang sedia lekat pada tubuh aku. Berjalan keliling kota dan biar kalian - kalian tahu bahawa aku ini hanyalah sebentuk tahi yang terlalu banyak sifat yang sukar difahami.

Cuma aku, masalah utama yang tak pernah aku hiraukan selama ini. Barangkali aku cuma berpura - pura menjalani waktu yang indah. Maka aku tertipu dengan ilusi aku sendiri, terperangkap dengan perbuatan sendiri. Aku selalu kaku apabila tersentak dengan lafaz satu dua kata yang keluar dari bibir dia.

Shit! sekali lagi gambaran yang makin jelas terhadap aku. Seringkali aku tertewas dengan nafsu aku. Aku cuma cemburu! Makin takut aku, makin aku tertekan. Apabila dia menyatakan keikhlasan aku ini hanyalah cabaran semata - mata. Aku bukan berlumba sayang. Aku tidak pernah terniat begitu. Aku cuma mahukan aku dan kamu. Dimasa dan saat yang benar - benar terjadi. Hingga akhir nanti, tanpa rasa curiga. Benar, aku cemburu. Tapi kau harus tahu bahawa, Ini Adalah Cinta.

Ahmad Syukor B. Abd Razak

Wednesday, December 21, 2011

Masih Perlu Berahsia

Sungguhpun kenyataan menenangkan aku dari pergelutan keadaan, aku masih dihantui rasa curiga.

Dan pengantara aku hanyalah ruang masa yang aku tak mampu sempurnakan melalui rutin harian aku. Sibuk yang melanda terus membutakan aku dari melihat keberadaan rasa yang menjadi daripada ilusi. Sejak dahulu, kesabaran yang aku semai sudah menjadi tanpa rasa apa - apa ketakutan. Aku masih tabah menunggang masa yang makin cemburu dengan diri ini.

Sesuatu yang masih menjadi tanda tanya. Adakah ianya berpunca dari ketidak-adilan? Maka haruskah ia diperjuangkan demi titik - titik keindahan yang semakin kuat berpautan. Menjalar naik turun kiri dan kanan. Cukup sempurna.

Maka baiklah aku terus meminta, biarlah aku yang terus menjadi pengemis, biarlah aku yang terus menjadi penanggung segala kejadian, biarlah aku menjadi segalanya.

Ahmad Syukor B. Abd Razak

Sunday, November 27, 2011

Nikmat

Terhidang di meja tamu, masak lemak cili api. Disusuli gulai ikan sembilang dan ikan bawal masam manis. Aku berdiri dari jauh terliur memandang hidangan tersebut.

Aku dilayan seperti tetamu, sedangkan aku yang belajar di luar kawasan sekadar pulang melepaskan rindu aku pada keluarga. Emak, dari raut wajahnya yang sangat gembira dengan kepulangan aku. Menghidangkan aku dengan makanan yang sangat istimewa dan yang lebih istimewa adalah masakan itu adalah dari air tangannya. Aku tersenyum dan serta - merta mata aku bertakung dengan air mata gembira.

Habis, dari air basuh tangan sehingga lauk - pauk aku emak sediakan dalam satu pinggan. Pinggan aku pula berlainan dari adik - beradik aku yang lain. Menandakan aku ini adalah yang teristimewa dikalangan mereka. Tetapi tiada pun riak muka cemburu daripada mereka, aku hairan. Senyuman yang mereka lemparkan pada aku sungguh aneh, tidak seperti selalu. Abang aku yang selalu cerewet tentang makanan hari ini membisu sahaja. Mereka seperti sedang sembunyikan sesuatu daripada aku. Tapi masih bersulamkan senyuman yang ikhlas. Aku bingung.

Selesai mengunyah sesuap nasi, emak bertanya : "sedap tak syukor?" aku tidak menjawab lantas aku sambung menikmati keenakan masakan emak. Pada saat ini aku rasakan aku berada dengan sekumpulan bidadari yang melayan aku seperti putera raja. Makin aku bingung apabila makin aku menikmati makanan tersebut sehingga separuh habis, makin menghilang wajah - wajah indah dihadapan aku. Kian makin pudar.

Air mata aku berlinangan sambil lekas aku menghabiskan makanan yang sedia ada. Pada suapan yang terakhir, wajah emak tersenyum lebar sambil disampaikan pada aku, "emak sayangkan kamu" tetapi tanpa suara, hanya mimik bibirnya sahaja. Terus lesap semuanya setelah aku selesai menikmati segalanya.

Cis, tidur aku tadi dibuai dengan mimpi yang sangat suspen. Aku takut kehilangan orang yang sangat aku sayang. Dan telah disampaikan rindu aku pada mereka di kampung halaman. Tunggu aku pulang. Aku rindukan kalian.

Ahmad Syukor B. Abd Razak